‘HARAPAN berjanji tanpa kajian, akhirnya rakyat tertipu’

DUN KELANTAN | Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyelar Pakatan Harapan (HARAPAN) yang didakwanya tidak mempunyai maklumat mencukupi ketika mengemukakan janji kepada rakyat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Beliau berkata, rentetan daripada kesilapan itu pelbagai masalah timbul dan banyak alasan digunakan dan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa serta tertipu.

Merujuk kepada isu royalti minyak, menurut Mohd Amar, kerajaan Kelantan hanya menuntut lima peratus daripada pengeluaran berbanding 20 peratus yang dijanjikan HARAPAN dalam manifestonya.

“Saya tekan dari awal lagi, hak kita adalah lima peratus daripada pengeluaran seperti yang ada dalam perjanjian, manakala 20 peratus itu janji Pakatan Harapan.

“Itu berbeza dan kami hanya tuntut hak kami.

“Bayar yang itu dulu, lepas itu kalau nak bagi yang 20 peratus itu, bagilah. Tak ada masalah apa,” katanya.

Mohd Amar yang juga wakil rakyat Panchor ditemui media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berlangsung di Kota Bharu hari ini.

Mengapa janji lain

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berhubung penangguhan bayaran royalti minyak.

Pagi tadi Malaysiakini melaporkan Azmin mengakui Putrajaya tidak dapat membuat bayaran 20 peratus royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar bahan api itu.

Azmin berkata penangguhan itu dibuat kerana pihak kerajaan perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, bayaran 20 peratus daripada hasil keuntungan seperti dicadangkan kerajaan itu sememangnya bercanggah dengan perjanjian.

“Sebab perjanjian (asal) sebut lima peratus.

“Tapi isunya kalau kita nak bahas, mengapa dulu dijanjikan lima peratus? Mereka tak buat kajian ke, mereka tak baca ke?
“Itulah masalahnya, buat janji dengan tidak ada kajian akhirnya rakyat yang tertipu.

“Inilah masalah HARAPAN, terlalu banyak janji yang tidak dibuat kajian,” ujarnya.

Mohd Amar turut menyelar kenyataan Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang mendedahkan pihaknya tidak mendapat maklumat mencukupi ketika merangka manifesto HARAPAN pada PRU14 lalu.

“Hingga Wan Saiful sendiri mengaku waktu dia rangka (manifesto) dia tak ada maklumat yang cukup, jadi selama ini rupanya rakyat Malaysia tertipu dengan janji-janji HARAPAN,” tegas Mohd Amar.

Leave a Comment